Bagi yang tidak pernah mengalaminya, mungkin agak sukar untuk kenalpasti tanda demam denggi.
Tambahan pula, keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini membuatkan ramai jatuh sakit.
Ingatkan demam biasa, rupanya ini simptom demam denggi.
Justeru, penting untuk kita ketahui tanda demam denggi pada kanak-kanak dan orang dewasa.
Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau denggi berdarah yang boleh membawa maut.
Sekiranya tidak dirawat dengan baik, demam denggi boleh menjadi lebih teruk sehingga mengakibatkan komplikasi.
Jadi, adalah penting untuk anda ketahui tanda demam denggi yang anda atau orang terdekat alami.
Apa itu Denggi?
Demam denggi merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk betina daripada spesis Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Fakta Penting Demam Denggi
Apa yang Perlu Anda Tahu Tentang Demam Denggi?
Demam denggi bukan sekadar demam biasa — walaupun sesetengah orang hanya alami gejala ringan, ia boleh menjadi lebih serius, terutamanya bagi mereka yang pernah dijangkiti sebelum ini.
Golongan seperti bayi, wanita mengandung, dan individu dengan sejarah denggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi.
Dalam kes tertentu, keadaan boleh menjadi kritikal apabila berlaku pendarahan dalaman atau kejutan akibat kehilangan cecair yang banyak. Rawatan awal amat penting untuk elakkan keadaan menjadi parah.
Tanda Demam Denggi
Pesakit boleh alami tanda tanda demam denggi dan gejala selepas 5 hingga 6 hari mendapat gigitan nyamuk Aedes.
Antara simptom denggi adalah seperti berikut :
- Demam kuat yang mengejut
- Demam panas yang berlarutan
- Sakit kepala
- Ruam merah muncul pada kulit
- Sakit teruk pada bahagian tulang-tulang, otot-otot, sendi serta biji mata.
- Loya dan muntah-muntah
- Sakit perut dan cirit-birit

Demam denggi yang lebih teruk iaitu denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas serta pendarahan seperti :
- Mudah lebam.
- Pendarahan di bawah kulit, pada hidung serta gusi.
- Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut.
Kenali Nyamuk Aedes
Berikut merupakan serba sedikit fakta penting yang perlu anda tahu tentang nyamuk aedes :
- Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur, jentik-jentik dan kepompong. Ia mengambil masa 7 hari untuk menjadi nyamuk dewasa.
- Aedes mempunyai belang putih pada badan serta kakinya.
- Aedes menggigit pada awal pagi serta lewat senja
- Aedes membiak di dalam air jernih dan bertakung di dalam dan luar premis atau kediaman.


Rawatan Demam Denggi
Setakat ini, masih tiada rawatan khas untuk denggi. Namun, pesakit yang mengalami tanda demam denggi perlulah mendapatkan rawatan segera.
Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan untuk berehat secukupnya dan banyakkan minum air kosong.
Pesakit yang disyaki menghidap demam denggi berdarah pula akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan yang lebih rapi.
Langkah Awal Jika Anda Disyaki Menghidap Denggi
Jangan tunggu terlalu lama — jika anda mula rasa tak sihat dan mengesyaki anda mengalami tanda demam denggi, segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan.
Elakkan memandu sendiri jika keadaan badan terasa lemah.
Rawatan utama termasuk rehat secukupnya dan ambil ubat seperti paracetamol untuk kurangkan demam.
Elakkan ubat seperti aspirin dan ibuprofen kerana ia boleh memburukkan keadaan.
Pastikan anda minum air kosong secukupnya — kekurangan cecair boleh memburukkan lagi keadaan badan.
Peringatan Penting
Demam mungkin mula surut selepas beberapa hari, tetapi itu bukan bermakna anda telah pulih sepenuhnya.
Hati-hati dalam beberapa hari berikutnya kerana inilah masa gejala lebih serius boleh muncul.
Cegah Denggi Dari Rumah
Seperti yang dinyatakan, tiada ubat khusus untuk merawat demam denggi. Justeru, amalan pencegahan serta kawalan kebersihan adalah tindakan terbaik.
Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes. Ayuh sama-sama kita amalkan rutin seperti berikut :
- Buang bekas-bekas yang boleh menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes.
- Pastikan sampah diikat dan dibuang di tempat yang betul.
- Pasu-pasu bunga dan bekas tadahan perlulah dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali.
- Letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di kawasan bertakung.
- Lakukan semburan aerosol pada awal pagi dan lewat petang di sekitar rumah termasuk belakang almari, bawah meja, bawah katil, tandas dan stor.
- Pakaian berlengan panjang dan kelambu boleh membantu cegah gigitan, terutamanya waktu malam.
- Tutup tingkap atau gunakan jaring nyamuk untuk lindungi ruang dalam rumah.

Bersama-sama kita menjaga kesihatan dan mencegah pembiakan nyamuk aedes. Dapatkan rawatan segera sekiranya anda atau orang terdekat mengalami tanda demam denggi.
Untuk maklumat lanjut atau aduan mengenai tempat pembiakan denggi, sila ke portal idengue.mysa.gov.my.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)