Pantang larang makanan penyakit saraf merupakan aspek penting yang sering dipandang ringan dalam penjagaan kesihatan sistem saraf.
Sistem saraf yang merangkumi otak, saraf tunjang, dan saraf periferi bertanggungjawab mengawal fungsi asas badan seperti pergerakan, deria, pemikiran, dan emosi.
Bila sistem ini terganggu, pelbagai komplikasi boleh berlaku termasuk kesukaran bergerak, masalah ingatan dan gangguan deria. Oleh itu, pesakit yang menghidap penyakit saraf perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan.
Artikel ini akan membincangkan senarai 8 pantang larang makanan penyakit saraf yang patut dielakkan agar kesihatan saraf dapat dipelihara dan gejala penyakit tidak bertambah teruk.
Apa itu Penyakit Saraf?
Penyakit saraf merujuk kepada sebarang gangguan yang menjejaskan sistem saraf manusia, iaitu rangkaian kompleks yang merangkumi otak, saraf tunjang dan saraf periferi.
Sistem saraf inilah yang mengawal hampir semua fungsi badan dari pergerakan, pertuturan, pernafasan, hinggalah keapda daya ingatan, emosi dan keupayaan untuk belajar.
Oleh itu, apabila berlaku kerosakan atau gangguan pada mana-mana bahagian sistem saraf, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan serius seperti sukar bergerak, bercakap, menelan, atau gangguan pada memori, deria dan mood.
Menurut Journal Data Science and Engineering, terdapat lebih daripada 600 jenis penyakit neurologi yang diketahui, dan ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya termasuk:
- Penyakit genetik, contohnya Huntington’s disease dan muscular dystrophy.
- Kecacatan perkembangan sistem saraf, seperti spina bifida.
- Penyakit degeneratif, di mana sel-sel saraf rosak atau mati secara beransur-ansur, seperti Parkinson’s disease dan Alzheimer’s disease.
- Penyakit saluran darah otak, contohnya strok.
- Kecederaan otak atau saraf tunjang, yang boleh mengakibatkan kelumpuhan atau kehilangan deria.
- Penyakit sawan, seperti epilepsi.
- Kanser sistem saraf, seperti tumor otak.
- Jangkitan sistem saraf, seperti meningitis.
Penyakit-penyakit ini sering memberi kesan besar kepada kualiti hidup seseorang dan memerlukan penjagaan khusus termasuk kawalan makanan, rawatan perubatan dan terapi berterusan.
Pantang Larang Makanan Penyakit Saraf
Berikut adalah senarai pantang larang makanan penyakit saraf yang perlu anda ikuti bagi melindungi fungsi otak dan saraf.
1. Makanan Tinggi Gula

Makanan dan minuman tinggi gula merupakan antara pantang larang makanan penyaki saraf yang paling utama, kerana pengambilan gula berlebihan boleh memebri kesan negatif terhadap fungsi otak.
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, terlalu banyak gula boleh menjejaskan keupayaan ingatan dan pembelajaran seseorang, malah turut dikaitkan dengan risiko penyakit dementia.
Minuman manis seperti air berkarbonat dan jus buah komersial sangat tinggi kandungan fruktosa, menjadikannya lebih merbahaya kepada kesihatan saraf.
Gula juga merangsang penghasilan dopamin, iaitu bahan kimia otak yang memberikan rasa gembira dan ketagihan. Akibatnya, seseorang cenderung untuk terus mengambil makanan bergula secara berlebihan, yang akhirnya membentuk tabiat pemakanan tidak sihat.
Sebagai alternatif yang lebih sihat, pesakit saraf disarankan untuk:
- Memilih air kosong, teh tanpa gula atau minuman rendah gula berbanding minuman manis.
- Menggantikan snek bergula dengan buah segar, sayuran, atau kekacang yang lebih berkhasiat untuk otak.
- Menggunakan pemanis semula jadi seperti madu, sirap maple, atau stevia dalam kuantiti kecil.
- Mengutamakan makanan segar dan tidak diproses bagi mengurangkan pengambilan gula tambahan.
2. Makanan Diproses dan Pengawet

Bagi pesakit penyakit saraf, makanan diproses dan yang mengandungi bahan pengawet tiruan adalah antara pantang larang yang perlu diberi perhatian serius.
Makanan yang kita makan memberi kesan langsung kepada kesihatan otak, dan makanan diproses sering mengandungi bahan tambahan tiruan seperti pewarna makanan, perisa buatan, pengawet, dan pemanis tiruan yang boleh menjejaskan fungsi otak.
Berdasarkan kajian dari The Journal of Prevention of Alzheimer’s Disease, pengambilan makanan diproses secara berlebihan boleh menyebabkan masalah ingatan, penurunan fungsi kognitif, dan gangguan neurologi lain.
Antara bahan tambahan yang perlu dielakkan termasuklah MSG (monosodium glutamate), pemanis tiruan seperti aspartame, serta pewarna makanan tertentu yang boleh merangsang keradangan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan saraf.
Sebagai langkah alternatif yang lebih sihat, pesakit saraf disarankan untuk:
- Menyediakan makanan sendiri di rumah menggunakan bahan segar tanpa bahan tiruan, agar lebih selamat dan baik untuk fungsi otak.
- Mengutamakan makanan semula jadi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak, dan bijirin penuh.
- Mengamalkan gaya pemakanan “clean eating” dengan mengelakkan makanan segera dan produk tinggi bahan tambahan.
3. Lemak Trans dan Lemak Tepu
Lemak yang kita makan memberi kesan besar terhadap kesihatan otak, dan kajian menunjukkan bahawa lemak trans khususnya boleh meningkatkan risiko penyakit saraf seperti Alzheimer’s serta mempercepatkan kemerosotan fungsi otak.
Lemak trans biasanya ditemui dalam makanan bergoreng, produk pastri, biskut, makanan segera, dan snek yang diproses. Ia menyebabkan keradangan dan mengganggu fungsi otak, sekali gus menyumbang kepada masalah ingatan dan penurunan kognitif.
Sebaliknya, pesakit saraf disarankan untuk menggantikan lemak tidak sihat ini dengan lemak sihat seperti asid lemak omega-3, yang terbukti membantu menjaga kesihatan otak dan melambatkan kemerosotan fungsi neurologi. Antara sumber lemak sihat terbaik termasuk:
- Minyak zaitun
- Ikan berlemak seperti salmon, sardin dan mackerel
- Kacang dan biji-bijian seperti walnut, chia seed dan flaxseed
- Avokado
Pantang Larang Makanan Penyakit Saraf #4. Makanan dengan Gluten

Gluten ialah protein yang terdapat dalam gandum, barli, dan rai. Bagi mereka yang sensitif, pengambilan gluten boleh mencetuskan simptom seperti “brain fog” (fikiran berkabus), sakit kepala, dan neuropati iaitu rasa kebas, mencucuk, atau sakit pada saraf.
Beberapa gangguan berkaitan gluten termasuklah penyakit seliak, alahan gandum, dan sensitiviti gluten bukan seliak (NCGS).
Penyakit seliak boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti anemia, gangguan penyerapan nutrien, dan pertumbuhan terbantut.
Antara makanan dan bijirin yang perlu dielakkan ialah gandum, barli, rai, triticale, spelt, kamut, farro, couscous, serta kebanyakan roti, biskut, kek, pasta gandum dan makanan diproses. Namun begitu, masih banyak pilihan sihat dan bebas gluten yang boleh dinikmati seperti:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran segar
- Kekacang, biji-bijian, dan lemak sihat
- Protein haiwan seperti ayam, ikan, dan telur
- Bijirin bebas gluten seperti beras, quinoa, millet, dan jagung
Ketika makan di luar, pilih hidangan berasaskan protein atau bijirin bebas gluten, elakkan makanan bergoreng, dan semak menu untuk pilihan bebas gluten. Anda juga digalakkan membawa sos atau dressing sendiri untuk lebih selamat.
5. Pengambilan Alkohol
Alkohol mengganggu komunikasi antara sel otak dan boleh menyebabkan masalah ingatan, kekeliruan, serta meningkatkan risiko penyakit otak degeneratif. Dalam kes tertentu, alkohol juga boleh memburukkan simptom penyakit saraf sedia ada dan mengganggu keberkesanan ubat-ubatan.
Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, sehingga 46% pesakit yang mengalami myopati akibat alkohol (kerosakan otot yang berkaitan dengan penggunaan alkohol berlebihan) mengalami penurunan kekuatan otot yang ketara.
Selain itu, alkohol boleh merosakkan bahagian otak yang mengawal pergerakan dan pertuturan, menyebabkan seseorang berjalan tidak stabil, mengalami gegaran, pertuturan tidak jelas, dan pergerakan yang tidak terkawal.
Meskipun ada pendapat yang mengatakan pengambilan alkohol dalam jumlah kecil mungkin memberi kesan positif kepada sesetengah individu, penghidap gangguan saraf perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar neurologi terlebih dahulu.
Ini kerana walaupun dalam jumlah kecil, alkohol boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan atau memperburuk keadaan neurologi sedia ada.
Pantang Larang Makanan Penyakit Saraf #6. Kafein

Kafein merupakan bahan perangsang yang sangat popular dan biasa ditemui dalam minuman seperti kopi, teh, dan minuman tenaga.
Walaupun kafein boleh membantu meningkatkan tumpuan dan kewaspadaan, pengambilan berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada pesakit penyakit saraf. Secara purata, seseorang dewasa mengambil sekitar 179 mg kafein sehari, bersamaan dengan dua cawan kopi.
Namun, bagi individu dengan gangguan neurologi, terutamanya penyakit seperti Parkinson, pengambilan kafein secara berlebihan boleh memburukkan simptom.
Antara kesan sampingan kafein yang berlebihan termasuk keresahan, gangguan tidur, gegaran otot, dan dalam kes yang lebih serius, keracunan kafein yang boleh menyebabkan pelbagai gejala berkaitan otak.
Sebagai alternatif yang lebih selamat, pesakit saraf boleh memilih:
- Minuman tenaga semula jadi tanpa kafein seperti jus hijau, air kelapa, atau minuman berasaskan yerba mate dalam kuantiti sederhana.
- Teh herba tanpa kafein seperti chamomile, valerian, atau lavender yang menenangkan tanpa merangsang sistem saraf.
- Kopi tanpa kafein (decaf) untuk mereka yang masih ingin menikmati rasa kopi tanpa kesan rangsangan.
Pantang Larang Makanan Penyakit Saraf #7. Produk Tenusu

Bagi sesetengah individu yang menghidap penyakit saraf, produk tenusu boleh menjadi pencetus kepada simptom yang lebih teruk.
Ini kerana komponen utama dalam tenusu seperti laktosa dan kasein berpotensi menyebabkan keradangan dalam badan, termasuk pada sistem saraf.
Walaupun tenusu kaya dengan nutrien penting seperti kalsium dan vitamin D, ia mungkin tidak sesuai untuk semua individu yang mengalami gangguan neurologi.
Sebagai alternatif, pesakit saraf boleh beralih kepada pilihan berasaskan tumbuhan yang lebih mesra kesihatan saraf, antaranya:
- Susu berasaskan tumbuhan seperti susu badam, soya, atau oat, yang bebas laktosa dan kasein.
- Yogurt dan keju tanpa tenusu, biasanya diperbuat daripada kacang atau soya.
- Alternatif ini bukan sahaja bebas daripada pencetus keradangan, malah tetap membekalkan nutrien penting seperti kalsium dan vitamin B.
8. Ikan Tinggi Merkuri

Walaupun ikan merupakan sumber protein berkualiti tinggi dan kaya dengan nutrien penting seperti omega-3, vitamin B12, zat besi dan magnesium, pengambilan ikan yang tinggi kandungan merkuri perlu dielakkan oleh pesakit penyakit saraf.
Ini kerana merkuri ialah logam berat toksik yang boleh disimpan dalam tisu haiwan dan bertindak sebagai racun neurologi.
Ia boleh menembusi penghalang darah-otak (blood-brain barrier) dan mengganggu sistem saraf pusat serta proses komunikasi antara neurotransmitter dalam otak, seterusnya berpotensi merosakkan fungsi neurologi.
Ikan laut yang hidup lama dan berada di puncak rantaian makanan laut cenderung mengandungi merkuri yang tinggi, antaranya:
- Jerung (shark)
- Tuna
- Ikan pedang (swordfish)
- Ikan tilefish
- Ikan tenggiri raja (king mackerel)
Apabila dimakan secara kerap atau dalam kuantiti besar, merkuri boleh terkumpul dalam tubuh dan memberi kesan jangka panjang, terutama kepada wanita hamil dan kanak-kanak, kerana ia boleh memberi kesan kepada perkembangan otak janin serta menyebabkan kelewatan perkembangan.
Namun begitu, tidak semua jenis ikan mengandungi merkuri yang tinggi. Malah, pengambilan ikan rendah merkuri secara sederhana tetap digalakkan kerana manfaat kesihatannya. Antara pilihan ikan yang lebih selamat untuk pesakit saraf dan umum ialah:
- Salmon
- Sardin
- Ikan trout
- Tilapia
- Udang
- Ikan keli
- Ketam
- Tiram Pasifik
Kesimpulan
Kesimpulannya, pemilihan makanan yang betul sangat penting dalam pengurusan penyakit saraf. Dengan mengelakkan makanan yang boleh merosakkan sel saraf, pesakit boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Walaupun makanan bukanlah satu-satunya faktor penyebab atau penyembuh, ia tetap merupakan komponen penting dalam rawatan menyeluruh.
Oleh itu, amalkan gaya pemakanan yang sihat, elakkan makanan yang disenaraikan, dan sentiasa rujuk nasihat pakar untuk memastikan sistem saraf anda sentiasa berada dalam keadaan terbaik.