free web page counters Panduan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah – Tarikan Utama – Zing Velom

Panduan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah – Tarikan Utama

Panduan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah – Tarikan Utama

Kalau anda teringin nak tengok gajah depan mata dalam persekitaran yang selamat, anda boleh berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

Pusat konservasi Gajah Kuala Gandah ini terletak di tengah-tengah hutan tropika yang hijau dan segar. Tempat ni bukan zoo atau sarkas tau. Ini tempat di mana gajah yang pernah cedera, terpisah dari kawanan, atau kehilangan habitat dijaga sebaiknya. 

Nak tahu lebih lanjut, jom baca perkongsian di bawah. 

Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah

Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah (Kuala Gandah Elephant Sanctuary) atau National Elephant Conservation Centre (NECC), ditubuhkan pada tahun 1989 di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). 

Matlamat utamanya adalah untuk menyelamatkan dan memindahkan gajah liar yang kehilangan habitat akibat pembangunan, pembalakan dan konflik manusia-haiwan. 

Sejak lebih 30 tahun lalu, pusat ini telah berjaya memindahkan lebih 700 ekor gajah ke kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Langkah ini sekali gus membantu meminimumkan risiko kepupusan dan kerosakan harta benda penduduk setempat.

Selain berperanan sebagai pusat pemindahan, pusat konservasi ini turut menjadi pusat pendidikan dan kesedaran awam.

Di sini, pengunjung bukan sahaja dapat melihat gajah, malah boleh mendalami kisah unik setiap gajah yang dijaga di sini-termasuk latar belakang penyelamatan mereka. 

Dari segi kemudahan, terdapat tandas, surau, gerai makan, dan kawasan parkir percuma. Pusat ini juga mesra kerusi roda dan stroller. Ia sangat sesuai dikunjungi untuk semua peringkat umur.

Sumber: Pahang Tourism

BACA JUGA: 20+ Tempat Menarik Di Melaka, Wajib Dikunjungi!

Waktu Operasi

Hari Masa
Isnin – Ahad 8.00 pagi – 1.00 petang 2.30 petang – 4.30 petang
Jumaat 8.00 pagi – 12.30 tengahari 2.30 petang – 4.30 petang
Sumber: Laman Rasmi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam 

Aktiviti utama seperti memberi makan gajah, pertunjukan, dan sesi mandi gajah biasanya dijalankan pada waktu tertentu, bergantung kepada cuaca dan paras air sungai. Oleh itu, adalah disarankan untuk tiba awal supaya anda tidak terlepas sebarang aktiviti menarik.

Sila rujuk jadual berikut:

Sumber: Laman Rasmi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam 

NOTA: Semua pelaksanaan aktiviti pada pukul 2.15 petang bergantung kepada paras air sungai dan juga cuaca semasa. Jika paras air sungai tinggi dan hujan lebat, tiada sebarang aktiviti akan dilaksanakan. Sekian terima kasih.

Lokasi

Pusat ini terletak di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam 3 minit hingga 2 jam melalui Lebuhraya Karak dan keluar di persimpangan Lanchang. 

  • Alamat: Kuala Gandah, 28500 Lanchang, Pahang Darul Makmur, Malaysia
  • Tel: 017-3688 207/013-908 8207 (kaunter)
  • Email: necc@wildlife.gov.my

Tiket Masuk

Masuk ke Kuala Gandah Elephant Sanctuary ini adalah PERCUMA. Betul, kat sini semua percuma. Parking percuma, tonton persembahan gajah pun percuma tau.

Walaubagaimanapun, anda digalakkan menggunakan perkhidmatan Pemandu Pelancong untuk menjadikan lawatan anda lebih menarik dan bermakna. 

Bayaran untuk seorang pemandu pelancong adalah sebanyak RM50.00 untuk pakej Regular Service, RM120 untuk Educational Tour, dan RM100 untuk pakej Volunteer.

Aktiviti menarik di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah

Pusat konservasi ini sesuai untuk dilawati seisi keluarga untuk mengenali gajah dengan lebih dekat sambil menyokong usaha konservasi negara.

Antara aktiviti menarik di sini ialah:

1. Memberi Makan Gajah
Pengunjung boleh memberi makan gajah dengan tebu atau pisang yang dijual di pusat ini. Kanak-kanak memang suka sangat aktiviti ini. Mereka dapat berinteraksi secara langsung dengan gajah yang ramah dan jinak. 

2. Melihat Persembahan dan Mandi Gajah

Terdapat juga persembahan gajah dewasa bersama mahut (penjaga gajah) yang melakukan pelbagai aksi menarik di pentas. Pada waktu tertentu, anda juga boleh melihat gajah mandi di sungai. 

3. Pameran dan Tayangan Video Konservasi
Pengunjung juga boleh menontontayangan video mengenai usaha penyelamatan dan translokasi gajah. Tayangan video ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengunjung tentang kepentingan pemuliharaan spesies ini. 

4. Bermesra dengan Anak Gajah
Jika bernasib baik, anda boleh mendekati anak-anak gajah yang comel dan belajar tentang kisah penyelamatan mereka. Ini adalah peluang terbaik untuk mendidik anak-anak anda mengenai pentingnya menjaga alam sekitar dan haiwan liar. 

Sumber: Tourism Pahang

Jom luangkan masa dan rancang kunjungan anda ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah bersama anak-anak, keluarga atau rakan-rakan. Dijamin seronok!

BACA JUGA: 20+ Tempat Menarik di Negeri Sembilan 2025

About admin