Cirit-birit air berlaku apabila najis menjadi sangat cair dan kerap. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan, intoleransi makanan, ubat-ubatan atau masalah usus.
Walaupun sering dianggap ringan, ia boleh membawa risiko dehidrasi jika tidak dirawat.
Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan yang sesuai untuk membantu anda menangani masalah ini dengan lebih berkesan.
Apa itu Cirit Birit Air?

Cirit-birit air merujuk kepada keadaan najis yang sangat cair, longgar dan berair seakan-akan air sepenuhnya tanpa bentuk yang tetap.
Ia berlaku apabila usus besar (kolon) tidak dapat menyerap air dan elektrolit secukupnya daripada najis, atau apabila usus merembeskan lebih banyak air daripada yang diserap.
Dalam sesetengah kes, jenis cirit-birit ini dikenali sebagai cirit-birit osmotik, iaitu apabila nutrien yang tidak diserap dengan baik menarik lebih banyak air ke dalam kolon.
Punca Cirit Birit Air
1. Jangkitan
Menurut National Center for Biotechnology Information, antara punca paling biasa cirit birit air ialah jangkitan oleh virus, bakteria, atau parasit. Virus seperti rotavirus, norovirus, adenovirus, dan SARS-CoV-2 boleh menyebabkan keradangan pada saluran pencernaan dan menjadikan najis cair.
Bakteria pula seperti E. coli, Salmonella, Shigella, Campylobacter, dan Clostridium difficile boleh masuk ke dalam tubuh melalui makanan. atau air yang tercemar.
Parasit seperti Giardia dan Cryptosporidium juga boleh menjangkiti usus melalui air tidak bersih atau sentuhan najis manusia dan haiwan. Jangkitan ini biasanya disertai gejala lain seperti muntah sakit perut, demam, dan sakit badan, dan selalunya berlaku dalam tempoh kurang dari dua minggu.
2. Intoleransi Makanan dan Pemanis Buatan
Sesetengah individu tidak dapat menghadam jeis gula tertentu seperti laktosa (dalam produk tenusu) atau fruktosa (dalam buah dan madu).
Pemanis tiruan seperti sorbitol dan xylitol, yang sering digunakan dalam gula-gula getah dan minuman ringan tanpa gula, juga boleh bertindak sebagai julap dan menyebabkan cirit-birit berair.
Selain itu, gluten, sejenis protein dalam gandum juga boleh menjadi pencetus bagi mereka yang mengalami penyakit seliak. Intoleransi makananini sering disertai kembung dan gas berlebihan serta cenderun berlaku berpanjangan.
3. Kesan Sampingan Ubat
Beberapa jenis ubat boleh menyebabkan cirit-birit air sebagai kesan sampingan. Contohnya termasuk antibiotik, antasid, ubat anti-radang (NSAIDs), ubat kemoterapi, dan laksatif yang mengandungi magnesium.
Antibiotik khususnya boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, menyebabkan pertumbuhan bakteria berbahaya seperti C. difficile yang mencetuskan cirit-birit. Bahkan, sesetengah suplemen vitamin juga boleh memberikan kesan yang sama, terutama jika diambil dalam dos berlebihan.
4. Keadaan Kesihatan Kronik
Cirit-birit air yang berpanjangan boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih serius. Antaranya ialah sindrom usus rengsa (IBS), penyakit seliak, penyakit Crohn, dan kolitis ulseratif, yang menyebabkan keradangan usus.
Individu yang menghidap diabetes juga boleh mengalami cirit-birit akibat kerosakan saraf atau pertumbuhan bakteria berlebihan dalam usus.
Selain itu, keadaan seperti malabsorbsi asid hempedu, hipertiroidisme, dan pankreatitis kronik juga boleh menyebabkan najis menjadi cair dan berminyak kerana tubuh tidak dapat memecahkan nutrien dengan baik.
5. Kesan Selepas Pembedahan
Dalam sesetengah kes, individu yang menjalani pembedahan perut atau pundi hempedu mungkin mengalami cirit-birit selepas prosedur. Ini dikenali sebagai dumping syndrome, iaitu keadaan di mana makanan bergerak terlalu cepat dari perut ke usus kecil.
Ia sering berlaku selepas pembedahan bariatrik atau pembedahan ulser dan menyebabkan gejala seperti najis longgar, loya, sakit perut, dan degupan jantung tidak sekata.
6. Gaya Pemakanan dan Corak Diet
Diet yang tinggi alkohol, makanan pedas atau berlemak, kafein, dan magnesium juga boleh merangsang pengeluaran air dalam usus dan mengakibatkan najis cair.
Individu yang mengambil makanan tinggi laktosa tanpa kemampuan menghadamnya akan mengalami gejala seperti perut kembung, angin, dan cirit-birit.
Kadangkala, corak diet seperti ini menyebabkan cirit-birit akut yang berlaku sekejap dan pulih dalam masa beberapa hari.
Warna Cirit Birit Air
Berikut adalah warna cirit birit air berserta penerangannya yang perlu anda tahu:
1. Najis Cair Berwarna Kuning
Najis cair yang berwarna kuning terang boleh menjadi petunjuk kepada masalah pada hati atau pundi hempedu.
Warna kuning juga mungkin menandakan jangkitan parasit seperti giardiasis, yang berlaku apabila seseorang meminum air tercemar. Jangkitan ini menyebabkan najis menjadi berminyak, berbau busuk, dan berair.
2. Najis Cair Berwarna Hijau
Najis yang berwarna hijau biasanya dikaitkan dengan pengambilan makanan berwarna hijau seperti sayuran atau pewarna makanan.
Namun, ia juga boleh berlaku apabila najis bergerak terlalu cepat melalui kolon, menyebabkan hempedu tidak sempat diproses sepenuhnya dan memberi warna hijau pada najis.
3. Najis Cair Jernih
Jika najis kelihatan jernih atau seperti cecair lutsinar, ia mungkin disebabkan oleh keradangan usus yang menyebabkan usus merembeskan lendir (mucus) dalam jumlah yang berlebihan.
Lendir ini boleh keluar bersama najis dalam bentuk cecair jernih, terutamanya dalam keadaan seperti sindrom usus rengsa (IBS) atau jangkitan usus.
4. Najis Cair Berwarna Hitam
Najis cair berwarna hitam boleh menjadi tanda yang membimbangkan, kerana ia mungkin menunjukkan pendarahan dalam saluran pencernaan bahagian atas, seperti perut atau esofagus. Darah yang dicerna akan menyebabkan najis menjadi gelap atau kehitaman.
Namun begitu, warna hitam juga boleh disebabkan oleh faktor lain seperti pengambilan ubat seperti Pepto-Bismol, suplemen zat besi, atau makanan yang berwarna biru/gelap seperti blueberry atau likorais hitam.
Simtom & Gejala
Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, berikut ialah antara simptom dan gejala cirit-birit air yang biasa dialami oleh individu yang menghidap keadaan ini:
- Najis cair seperti air – Konsistensi sangat longgar, hampir sepenuhnya cecair tanpa bentuk.
- Kekerapan buang air besar meningkat – Lebih dari 3 kali sehari, kadang-kadang berlaku setiap beberapa minit atau jam.
- Perut memulas / kekejangan abdomen – Rasa tidak selesa, sakit atau kembung pada bahagian perut.
- Loya dan muntah – Sering berlaku jika cirit-birit disebabkan oleh jangkitan atau keracunan makanan.
- Demam ringan hingga tinggi – Menunjukkan badan sedang melawan jangkitan.
- Bau najis yang kuat dan tidak menyenangkan – Khususnya jika disebabkan oleh jangkitan bakteria atau parasit.
- Najis berlendir atau berdarah – Mungkin hadir lendir jernih atau berdarah, bergantung pada punca seperti kolitis atau jangkitan serius.
- Kembung dan pengeluaran gas berlebihan – Disebabkan oleh penapaian makanan yang tidak dihadam sepenuhnya dalam usus.
- Kehilangan selera makan – Sering kali tidak berselera untuk makan kerana ketidakselesaan dalam perut.
- Tanda-tanda dehidrasi – Termasuk:
- Mulut dan bibir kering
- Rasa haus yang melampau
- Air kencing sedikit dan berwarna gelap
- Letih dan lesu
- Pening atau kepala ringan
Cara Merawat Cirit Birit Air
Antara cara merawat cirit birit air yang boleh anda lakukan adalah seperti berikut:
1. Rehat dan Penghidratan Secukupnya

Langkah paling penting dalam rawatan cirit-birit air ialah memastikan tubuh kekal terhidrat. Kehilangan cecair melalui najis cair boleh menyebabkan dehidrasi, yang membahayakan terutama kepada bayi, warga emas dan individu dengan imuniti lemah.
Minum air kosong dengan kerap, dan jika perlu, ambil minuman elektrolit seperti air garam rehidrasi (ORS) atau minuman sukan seperti Gatorade untuk menggantikan elektrolit yang hilang. Elakkan minuman berkafein dan beralkohol.
2. Pengambilan Makanan Lembut dan Rendah Serat (Diet BRAT)

Semasa dalam fasa pemulihan, elakkan makanan pedas, berlemak, berminyak atau berserat tinggi. Sebaliknya, pilih makanan yang lembut dan mudah dihadam seperti:
- Roti bakar (toast)
- Pisang
- Nasi putih
- Epal yang dimasak (sos epal)
- Bubur nasi
Diet ini membantu menenangkan perut dan mengurangkan tekanan ke atas sistem pencernaan.
3. Ubat Anti-Cirit-Birit Tanpa Preskripsi
Ubat seperti loperamide (Imodium) atau bismuth subsalicylate (Pepto-Bismol) boleh membantu memperlahankan pergerakan usus dan mengurangkan kekerapan najis cair.
Namun begitu, ubat ini tidak sesuai untuk semua orang, terutamanya jika cirit-birit disebabkan oleh jangkitan bakteria atau parasit, kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kekal lebih lama dalam usus.
4. Probiotik untuk Seimbangkan Bakteria Usus
Pengambilan probiotik boleh membantu mengembalikan keseimbangan bakteria baik dalam usus, terutamanya selepas cirit-birit disebabkan oleh antibiotik atau keracunan makanan.
Probiotik boleh didapati dalam bentuk suplemen atau makanan seperti yogurt kultur hidup, kefir, dan tempe.
5. Rawatan Perubatan (Jika Perlu)
Jika cirit-birit berair berterusan lebih dari dua hari atau disertai gejala serius seperti darah dalam najis, demam tinggi, atau keletihan melampau, rawatan perubatan diperlukan. Antara rawatan yang mungkin diberikan oleh doktor termasuk:
- Ubat antibiotik, jika punca adalah jangkitan bakteria atau parasit.
- Pengubahsuaian ubat, jika cirit-birit berpunca daripada kesan sampingan ubat.
- Rawatan penyakit pencernaan kronik, seperti ubat anti-radang untuk IBD, atau rawatan penyakit seliak.
- Pemeriksaan lanjut, seperti kolonoskopi atau sigmoidoskopi jika disyaki masalah struktur atau penyakit serius dalam usus.
6. Rawatan Kecemasan untuk Dehidrasi Teruk

Dalam kes cirit-birit yang menyebabkan dehidrasi teruk, terutama jika individu tidak dapat minum dengan mencukupi atau mengalami muntah berterusan, rawatan intravena (IV) diperlukan untuk menggantikan cecair dan elektrolit secara langsung ke dalam saluran darah.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Walaupun cirit-birit air selalunya akan pulih dengan sendirinya apabila badan menyingkirkan bakteria atau punca jangkitan lain, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan anda berjumpa doktor.
Sekiranya anda mengalami cirit-birit berair yang berterusan lebih daripada 48 jam atau najis yang mengandungi darah, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan segera. Ini bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius seperti dehidrasi teruk atau jangkitan usus yang memerlukan rawatan lanjut.
Doktor mungkin akan meminta sampel najis untuk dihantar ke makmal bagi mengesan kehadiran bakteria, virus, atau parasit.
Dalam kes tertentu, mereka juga boleh mencadangkan prosedur seperti kolonoskopi atau sigmoidoskopi untuk menilai keadaan lapisan usus dan mengenal pasti punca sebenar cirit-birit.
Pemeriksaan awal dapat memastikan rawatan yang betul diberikan serta mengurangkan risiko komplikasi kesihatan jangka panjang.