Mencari cara gugur kandungan yang selamat, adakah perlu berjumpa doktor atau boleh guna cara tradisional gugurkan kandungan?
Keputusan untuk menggugurkan kandungan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dibuat, namun ia perlu dilakukan pada situasi yang boleh memudaratkan kandungan atau ibu.
Hasrat ini mungkin perlu ditunda akibat faktor kesihatan ibu atau janin.
Namun, adakah selamat jika menggunakan cara gugur kandungan tradisional seperti makan nanas?
Apa pula bezanya dengan cara gugur kandungan yang akan dilakukan oleh doktor?
Ikuti perkongsian kami untuk mengetahui perbezaan cara gugurkan kandungan awal hamil mengikut kaedah moden (berjumpa doktor) atau kaedah semula jadi (alami), serta risikonya.
Cara Gugur Kandungan Yang Disarankan Doktor
Di Malaysia, pengguguran hanya dibenarkan jika nyawa atau kesihatan fizikal/mental ibu terancam, dan perlu disahkan oleh doktor yang bertauliah.
Doktor bertauliah hanya akan menjalankan pengguguran janin mengikut situasi dan usia kandungan.
Secara umumnya, terdapat dua cara gugur kandungan yang disarankan oleh doktor iaitu :
- Prosedur pembedahan
- Pengambilan ubat gugur
1. Cara gugurkan kandungan awal (kurang daripada 12 minggu)
- Kaedah perubatan (medikal):
- Menggunakan ubat seperti Mifepristone dan Misoprostol.
- Digunakan hingga usia kehamilan sekitar 9–10 minggu.
- Dilakukan di bawah pemantauan doktor.
- Ubat ini menyebabkan rahim mengecut dan menolak kandungan keluar.
- Kelebihan:
- Tidak perlu pembedahan.
- Privasi lebih terjaga.
- Kurang invasif.
2. Pengguguran lewat (12–24 minggu atau lebih)
Lebih sesuai untuk kandungan yang lebih lanjut.
- Kaedah pembedahan (surgical abortion):
- Contoh: Dilation and Curettage (D&C) atau Dilation and Evacuation (D&E).
- Dilakukan oleh pakar di hospital atau klinik berlesen.
- Kelebihan:
- Proses lebih cepat berbanding ubat.

Cara Gugur Kandungan Dengan Pengambilan Ubat
Sekiranya kandungan memasuki peringkat awal trimester pertama (dalam tempoh 12 minggu pertama kehamilan), doktor akan mengesyorkan pengguguran kandungan menerusi pengambilan ubat.
Ubat ini perlulah diambil pada dos yang tepat mengikut saranan pakar perubatan.
Ia dianggarkan mempunyai 97% keberkesanan dalam menggugurkan kandungan secara selamat.
Namun, untuk pengetahuan anda, tidak semua wanita hamil boleh menggunakan ubat untuk menggugurkan kandungan.
Ini termasuklah wanita yang :
- Mempunyai alahan pada ubatan tersebut.
- Kehamilan berlaku di luar rahim (ectopic pregnancy).
- Individu dengan masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah.
- Mempunyai masalah kesihatan berkaitan hati, paru-paru atau buah pinggang.
- Wanita yang menggunakan IUD (alat pencegah kehamilan).
- Mengambil ubat kortikosteroid pada tempoh yang lama.
Pilihan ubat untuk cara gugur kandungan
Terdapat dua pilihan ubat yang akan diberikan oleh doktor bagi proses pengguguran janin ini iaitu :
- Mifepristone (Korlym)
- Misoprostol (Cytotec)
Ubat-ubatan ini berfungsi untuk menghalang tindakan progesteron, iaitu hormon yang diperlukan oleh embrio untuk proses tumbesaran serta perkembangan janin.
Pengambilan ubat ini juga dikatakan bakal mencetuskan kecutan atau kontraksi dalam rahim dan menolak tisu embrio.
Ubat mifepristone dan misoprostol ini boleh diambil melalui dua cara, iaitu secara oral atau dimasukkan ke dalam vagina.
Kesan ubat-ubatan ini boleh dilihat dalam masa beberapa jam selepas makan atau selepas memasukkan ke dalam vagina.
Individu yang mengambil ubat ini akan alami kekejangan perut serta pendarahan yang teruk.
Bagi membolehkan semua tisu embrio keluar sepenuhnya dari badan, keadaan ini boleh berlanjutan selama tiga hingga empat hari.
Jika pendarahan keluar terlalu banyak serta serius sehingga memerlukan anda untuk menukar lebih daripada dua tuala wanita dalam tempoh satu jam, anda perlulah rujuk pada doktor segera.
Anda juga perlu dapatkan pemeriksaan di kilinik atau hospital sekiranya mengalami simptom seperti demam atau selesema berpanjangan.

Kaedah atau Cara Gugur Kandungan Dengan Prosedur Pembedahan
Prosedur pembedahan bagi menggugurkan janin adalah bergantung kepada usia kehamilan anda.
Sekiranya kehamilan anda berada pada trimester pertama, doktor mungkin akan mengesyorkan cara gugur kandungan dengan prosedur aspirasi vakum (vacuum/suction aspiration).
Sekiranya kandungan anda sudah berada pada trimester kedua (kandungan melebihi 13 minggu), anda mungkin anda menjalani prosedur dilation dan extraction (D&X).
Aspirasi Vakum (Vacuum/Suction Aspiration)
Untuk melakukan prosedur ini, doktor akan meminta anda berbaring dan membengkokkan lutut.
Sebuah alat yang dipanggil spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj anda bagi memperluaskan bukaan vagina serta membolehkan doktor melihat serviks.
Seterusnya, antiseptik akan disapu pada bahagian vagina dan serviks.
Kemudian, doktor akan menyuntik ubat bius ke dalam servis dan memasukkan tiub kecil yang disambungkan dengan mesin vakum ke dalam rahim anda.
Berbanding kaedah pengguguran lain, prosedur ini dikatakan tidak terlalu menyakitkan.
Anda mungkin akan merasakan kekejangan perut ketika rahim mengalami kontraksi apabila tisu dikeluarkan.
Individu dengan masalah rahim tidak normal, mempunyai jangkitan pelvis atau masalah gangguan pembekuan darah tidak digalakkan untuk melakukan prosedur ini.
Dilation & Extraction (D&X)
Prosedur ini biasanya dilakukan apabila doktor mengenal pasti masalah serius pada ibu serta kandungan yang mencecah usia lebih daripada 21 minggu.
Secara umumnya, prosedur ini melibatkan proses pembedahan mengeluarkan janin.
Pada hari pertama, doktor akan melakukan prosedur pembesaran serviks bagi memudahkan proses mengeluarkan tisu kehamilan.
Pada hari berikutnya, doktor akan menggunakan forsep untuk mengeluarkan janin serta plasenta.

Alat seperti sudu yang dipanggil curette untuk mengikis lapisan rahim juga akan digunakan.
Prosedur ini dianggap menyakitkan dan biasanya doktor akan memberikan ubat tahan sakit kepada si ibu.
Cara Gugur Kandungan Secara Tradisional dan Risikonya
Sesetengah individu percaya bahawa memakan makanan tertentu seperti nanas muda, air rebusan herba, atau menggunakan urut tradisional boleh menggugurkan kandungan.
Namun, adakah cara-cara ini selamat?
Nanas muda dikatakan mengandungi enzim bromelain yang boleh melembutkan serviks, manakala herba seperti akar kayu atau jamu dikatakan mampu merangsang pengecutan rahim.
Walau bagaimanapun, tiada bukti perubatan yang sah menyokong keberkesanan kaedah ini.
Malah, kaedah ini boleh membahayakan kesihatan wanita.
Menggugurkan kandungan secara sendiri tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius.
Risiko Menggugurkan Kandungan Sendiri (Tanpa Pengawasan Doktor):
- Pendarahan berlebihan (hemorrhage). Boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.
- Jangkitan serius pada rahim. Boleh menyebabkan demam tinggi, sakit teruk, dan komplikasi jangka panjang.
- Kerosakan rahim atau organ dalaman lain. Akibat penggunaan benda tajam atau herba kuat yang merangsang pengecutan rahim.
- Kemandulan kekal. Kerosakan pada sistem pembiakan boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil semula.
- Keguguran tidak sempurna (incomplete abortion). Sisa kandungan tertinggal dalam rahim dan perlu dibuang melalui prosedur perubatan.
- Keracunan akibat herba atau bahan berbahaya. Sesetengah ramuan tradisional mengandungi toksin yang boleh merosakkan hati atau buah pinggang.
- Kematian. Dalam kes yang serius, komplikasi boleh membawa maut jika tidak mendapat bantuan perubatan segera.
Risiko Gugurkan Kandungan Sendiri
Dengan perkembangan internet, terdapat juga pil atau ubat gugur kandungan atau ‘pil cuci noda’ yang boleh didapati dengan mudah secara atas talian.
Biasanya wanita atau pasangan akan mengambil jalan mudah ini untuk menghalang kehamilan yang tidak diingini.
Lebih menyedihkan, ubat ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk pelajar wanita.
Secara umumnya, wanita atau pasangan hanya mengetahui kesan sampingan kecil bagi ‘pil cuci noda’ ini seperti muntah, sembelit dan sakit kepala.
Hakikatnya, ia boleh mendatangkan pelbagai risiko kepada wanita termasuk :
- Koyakan teruk pada rahim serta embolism air ketuban (amniotic fluid embolism) bagi penggunaan melebihi 12 minggu.
- Pendarahan teruk pada rahim yang koyak sehingga mengakibatkan kematian.
- Risiko lebih besar bagi kandungan luar rahim iaitu pendarahan teruk yang mengancam nyawa.
Baca juga:
Kesimpulan
Kesimpulannya, penilaian bagi cara gugur kandungan hanya berada di bawah bidang kuasa pakar perubatan sahaja.
Prosedur penguguran ini juga akan dijalankan dengan pemantauan rapi bagi menjamin keadaan pesakit stabil.
Di Malaysia, pengguguran janin hanya dibenarkan jika kehamilan membahayakan nyawa atau kesihatan fizikal/mental ibu, dan mesti dilakukan oleh doktor bertauliah.
Oleh itu, wanita yang sedang menghadapi kehamilan yang tidak dirancang atau berisiko digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan.
Elakkan mencuba cara gugur kandungan yang tidak terbukti dan berisiko tinggi.
Kesihatan dan keselamatan anda adalah paling utama.
Sekiranya anda mempunyai kandungan yang bermasalah dan boleh memudaratkan kesihatan anda, berbincanglah dengan pasangan.
Anda juga boleh dapatkan rundingan daripada doktor sebelum membuat sebarang keputusan.
Sumber : Hellodoktor