Adakah anda tahu berapa bacaan normal kencing manis?
Sungguhpun anda tiada penyakit diabetes, namun adalah penting untuk kita semua ketahui bacaan kencing manis normal.
Ini kerana, dengan memantau paras glukosa dalam darah dapat membantu individu mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius kelak.
Lebih-lebih lagi bagi individu yang ada sejarah keluarga dengan penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan sakit jantung.
Buat pengetahuan anda, tahap gula dalam darah merujuk pada jumlah glukosa yang terkandung dalam tubuh.
Biasanya, gula akan datang dari apa saja yang kita makan dan minum.
Bagi individu yang tidak menghidap diabetes, paras gula dalam darah mereka sentiasa terkawal kerana tubuh mereka berupaya untuk menghasilkan insulin secara normal.
Walau bagaimanapun, paras gula untuk pesakit diabetes sentiasa berubah-ubah.
Ini membuatkan mereka terdedah kepada risiko paras gula yang tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia).
Jom kita ketahui lebih lanjut mengenai bacaan normal kencing manis dalam artikel ini.

Apa Itu Paras Gula Dalam Darah?
Paras gula dalam darah merujuk kepada jumlah glukosa yang terdapat dalam peredaran darah seseorang pada sesuatu masa.
Glukosa ini penting kerana ia menjadi sumber tenaga utama untuk sel tubuh.
Tahap gula dalam darah yang terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia) boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mungkin memerlukan rawatan lanjut.
Oleh itu, pemantauan secara berkala untuk bacaan normal kencing manis amat penting, terutamanya bagi individu yang berisiko atau mempunyai sejarah diabetes.
Untuk mengetahui sama ada paras gula anda berada dalam julat yang normal, anda boleh rujuk panduan atau jadual bacaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jangan lupa, waktu pengambilan bacaan normal kencing manis juga memainkan peranan penting – sama ada anda sedang berpuasa, baru selesai makan, atau pada waktu lain dalam sehari.
Bacaan Normal Kencing Manis
Bacaan glukosa darah boleh dikategorikan sebagai normal, tinggi atau rendah, bergantung kepada waktu dan keadaan ketika bacaan diambil.
Bagi individu dewasa yang sihat dan tidak menghidap diabetes:
- Semasa berpuasa (sekurang-kurangnya 8 jam tanpa makan): bacaan seharusnya kurang daripada 5.6 mmol/L.
- Dua jam selepas makan: bacaan yang normal adalah sekitar 5.0 hingga 6.1 mmol/L.
Namun begitu, bacaan ini boleh berubah-ubah sepanjang hari bergantung kepada pelbagai faktor seperti:
- Jenis dan kuantiti makanan
- Tahap aktiviti fizikal
- Pengambilan ubat
- Usia dan keadaan kesihatan
- Tahap tekanan
- Dehidrasi atau kekurangan air
- Pengambilan alkohol
- Kitaran haid (bagi wanita)
Secara amnya, paras gula yang ideal pada waktu pagi untuk individu sihat tanpa diabetes ialah kurang daripada 100 mg/dL (bersamaan <5.6 mmol/L).
Berikut kami sediakan dalam bentuk jadual untuk bacaan normal kencing manis yang anda perlu tahu :
Bacaan | Terjemahan |
< 4 mmol/L | Bacaan adalah rendah (hipoglisemia)Pesakit perlu mengambil karbohidrat ringkas dengan kadar segera (contoh : 3 butir gula-gula, satu sudu besar madu) |
4.4 hingga 7 mmol/L | Bacaan adalah pada paras terkawal, jadi ini adalah bacaan normal kencing manis |
>7 mmol/L | Bacaan melebihi paras terkawal – Walau bagaimanapun, sebilangan pesakit dibolehkan mencapai paras gula antara 8 hingga 10 mmol/L. |

Sasaran Paras Gula Untuk Pesakit Tertentu
Terdapat sebilangan pesakit yang berbeza bacaan paras gula normal. Contohnya :
- Pesakit dengan masalah buah pinggang kronik
- Pesakit yang sering mengalami hipoglisemia (paras glukos rendah)
- Pesakit yang berumur lebih daripada 65 tahun.
Nota : Pesakit-pesakit di atas dibenarkan untuk mencapai paras gula antara 8-10 mmol/L dan bacaaan HbA1c antara 7.1% hingga 8.0% bagi mengelakkan risiko hipoglisemia.

Baca juga:
Kenapa Perlu Tahu Bacaan Normal Kencing Manis?
Bacaan paras gula dalam darah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan komplikasi seperti :
- Penyakit kronik seperti serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi
- Kerosakan saraf mata yang menjejaskan penglihatan
- Kerosakan saraf seperti hilang deria rasa pada bahagian kaki
- Penyakit buah pinggang
Oleh itu adalah penting untuk kita semua memantau paras gula dalam darah atau bacaan normal kencing manis.
Khususnya bagi individu dengan penyakit kronik, mereka dinasihatkan untuk mengambil bacaan gula kencing manis secara rutin agar paras gula sentiasa terkawal.
Selain pergi ke farmasi atau klinik, anda juga boleh mengambil sendiri bacaan gula dalam darah di rumah menggunakan glukometer.

Waktu Sesuai Untuk Semak Paras Gula
Kebiasaannya, waktu yang disarankan untuk anda semak bacaan gula dalam darah adalah ketika sebelum malam dan sebelum tidur.
Selain itu, anda juga boleh buat semakan 2 jam selepas makan atau pada tengah malam.
Anda boleh dapatkan nasihat daripada doktor untuk ketahui waktu terbaik untuk menggunakan glukometer di rumah bergantung kepada tahap kesihatan anda.
Bagi mengekalkan paras gula yang normal, anda perlulah mengawal pemakanan, amalkan senaman dan konsisten dalam pengambilan ubat-ubatan seperti yang disarankan doktor.
Sekiranya anda mempunyai kemusykilan untuk memantau paras gula di rumah, jangan malu untuk dapatkan nasihat serta panduan daripada pakar perubatan.
Paras Gula Dalam Darah Mengikut Umur
Tahap gula darah yang dianggap normal boleh sedikit berbeza bergantung pada peringkat umur seseorang:
- Kanak-kanak dengan diabetes (bawah 6 tahun): Paras glukosa puasa biasanya berada antara 4.4-10 mmol/L.
- Kanak-kanak berumur 6–12 tahun (dengan diabetes): Bacaan normal kencing manis semasa puasa adalah sekitar 4.4-10 mmol/L.
- Remaja yang menghidap diabetes (13–19 tahun): Julat normal bacaan puasa ialah 3.9-8.3 mmol/L.
- Dewasa (20–59 tahun): Bacaan normal kencing manis ketika berpuasa ialah <5.6 mmol/L, manakala selepas makan ialah kurang 10 mmol/L.
- Warga emas (60 tahun ke atas): Tahap gula darah yang normal hampir serupa dengan orang dewasa, tetapi perlu dikawal lebih berhati-hati kerana risiko komplikasi kesihatan lebih tinggi.
Memahami variasi ini penting agar pemantauan gula dalam darah atau bacaan normal kencing manis lebih tepat mengikut keperluan individu.
Sumber : mybuahpinggang.com, mountsinai.org, Harian Metro
Baca Juga : 7 Tanda Kencing Manis (Diabetes) Yang Kita Perlu Tahu – KKM