free web page counters Perut Kembung Ganggu Aktiviti Harian, Kenali Punca & Rawatan – Zing Velom

Perut Kembung Ganggu Aktiviti Harian, Kenali Punca & Rawatan

Perut kembung boleh menyebabkan seseorang rasa tidak selesa untuk meneruskan aktiviti harian, dan ada kalanya memalukan.

Ia berlaku apabila badan bertindak mengeluarkan angin berlebihan yang terhasil semasa menelan makanan dan minuman bersama air liur.

Ia juga boleh dialami oleh semua peringkat umur termasuk bayi dan kanak-kanak.

Ada juga yang tanya adakah perut kembung tanda hamil? Bagi golongan wanita, jawapannya mungkin ya dan mungkin tidak.

Akan tetapi, bagi kaum Adam dan kanak-kanak, sudah tentu itu bukan punca kenapa perut selalu kembung.

Justeru itu, apakah punca bagi masalah ini dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

Punca Perut Kembung

Dari sudut perubatan, keadaan yang biasanya mengakibatkan perut kembung adalah disebabkan :

  • Irritable bowel syndrome (IBS)
  • Diverticlosis atau diverticulitis
  • Penyakit seliak (coeliac disease)
  • Ketidakhadaman
  • Gastroenteritis

Di samping itu, kembung pada bahagian perut juga boleh berlaku disebabkan oleh beberapa jenis makanan seperti :

  • Kekacang
  • Gula getah
  • Minuman berkarbonat
  • Produk tenusu
  • Makanan berlemak dan bergoreng

Tabiat seperti di bawah juga mungkin boleh membuatkan sesetengah orang mudah mengalami kembung perut :

  • Makan dengan jumlah yang banyak dalam satu masa
  • Makan dengan laju
  • Makan dalam keadaan tertekan
  • Merokok
  • Penggunaan gigi palsu

Simptom / Tanda Perut Kembung

Kembung perut yang berlebihan boleh mengakibatkan beberapa gejala akibat gas dalam usus :

Sendawa – Gas dilepaskan melalui mulut menerusi tindakan refleks secara tiba-tiba. Ia berlaku apabila perut penuh dengan angin berlebihan yang biasanya berpunca daripada minuman, makanan atau merokok.

Kembung – Perut akan terasa sangat penuh dan seseorang akan cenderung untuk sendawa. Perkara ini biasanya berlaku disebabkan pengambilan makanan berat yang memerlukan tempoh lama untuk dicernakan.

Perut Meragam – Gejala ini berlaku apabila perut bertindak balas dengan cepat. Akibatnya, isi perut akan bergerak ke depan dan belakang. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang mengalami kemurungan atau jantung berdebar.

perut kembung
Masalah kembung perut boleh dialami oleh semua golongan.

Diagnosis

Untuk mengenal pasti punca masalah ketidakselesaan perut ini, langkah awal yang biasa diambil oleh doktor adalah dengan melakukan pemeriksaan fizikal serta menilai sejarah kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Pesakit digalakkan berkongsi maklumat terperinci mengenai pengalaman mereka yang terdahulu dengan masalah kembung, termasuk pola pemakanan harian dan sebarang gejala lain yang mungkin dirasai, seperti sakit perut atau ketidakselesaan lain.

Maklumat berkaitan ubat-ubatan yang sedang diambil – termasuk ubat preskripsi, ubat OTC (over-the-counter), serta suplemen atau produk herba – juga penting untuk diberitahu kepada doktor, kerana ia mungkin mempengaruhi sistem pencernaan dan menjadi antara punca gejala tersebut.

Rawatan dan Pencegahan

Perut kembung biasanya dirawat menerusi rawatan pemakanan, pengubahsuaian cara hidup serta ubatan tanpa preskripsi doktor.

Ubat-ubatan ini boleh dibeli di farmasi dan boleh dicuba bagi mengatasi masalah kembung perut :

  1. Suplemen Laktosa : Ubat ini sesuai untuk individu dengan masalah penghadaman laktosa. Anda juga boleh cuba produk tenusu tanpa laktosa sebagai pengganti.
  2. Simethicone : Ubat ini membantu dalam memecahkan gelembung gas dan sendawa berterusan.
  3. Activated Charcoal : Pil ini boleh diambil sebelum dan selepas makan bagi mencegah kembung.

Selain pengambilan ubat, anda juga dinasihatkan untuk pantau semula apa yang anda makan dan mengawal tabiat pemakanan :

  • Kenalpasti dan elakkan makanan yang boleh memberi kesan kepada perut seperti kekacang, produk tenusu, makanan berlemak dan minuman berkarbonat.
  • Elakkan pengambilan tinggi serat seperti buah dan sayuran dan produk tenusu buat sementara waktu.
  • Amalkan secawan teh pudina untuk elakkan angin dalam perut.
  • Ubahsuai tabiat makan yang boleh menyebabkan kembung seperti makan terlalu laju serta banyak dalam satu-satu masa dan sebagainya.

Perut Bayi Kembung

Masalah kembung juga sering dikaitkan dengan bayi.

Walaupun tiada punca bayi kembung spesifik yang boleh dikenalpasti, namun masalah ini mungkin berlaku disebabkan beberapa perkara seperti :

Bayi yang mengalami masalah kembung biasanya akan menunjukkan gejala seperti :

  • Menangis sekuat hati dalam jangka masa lama
  • Kekejangan tangan dan kaki
  • Tidak mengalami muntah, demam atau tanda-tanda penyakit lain.

Antara cara hilangkan kembung perut bayi adalah :

  • Tukar cara atau alat penyusuan sekiranya bayi menggunakan botol susu
  • Tukarkan posisi penyusuan bagi para ibu yang menyusu badan
  • Membedung bayi semasa dan selepas penyusuan
  • Anda boleh cuba ubat angin bernama ‘dimethicone’ untuk kurangkan rasa kembung perut bayi.
bayi kembung perut
Cara hilangkan kembung perut bayi.

Pada kebanyakan masa, kes kembung tidak berbahaya kepada pesakit.

Ia juga boleh ditangani dengan rawatan, mengubahsuai makanan dan gaya hidup.

Namun, ia boleh menjadi salah satu gejala bagi masalah ketidakhadaman lain seperti cirit birit atau IBS.

Sekiranya anda alami gejala lain seperti najis berdarah, sakit perut atau sembelit, sila dapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor.

Sumber : myhealth.gov.my (1), (2)

About admin